PEMUSNAHAN REKOD AWAM UiTM CAWANGAN PAHANG KAMPUS JENGKA OLEH UNIT ARKIB UNIVERSITI, PERPUSTAKAAN AL-BUKHARI
Oleh : Pn. Norfitriah Bt Mat Seman
Tahun 2017 dimulakan dengan kerja-kerja pemusnahan rekod awam UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka pada 20 Januari 2017 (Jumaat) yang lalu oleh Unit Arkib Universiti, Perpustakaan Al-Bukhari. En Norhazlan B. Nordin selaku Ketua Unit Arkib Perpustakaan Al-Bukhari, UiTM Cawangan Pahang dengan kerjasama semua staf perpustakaan telah berjaya melaksanakan proses pemusnahan rekod yang melebihi tempoh simpanan setelah mendapat kelulusan daripada Arkib Negara Malaysia Cawangan Pahang. Pelupusan rekod ini akan meningkatkan kecekapan pengurusan dan pentadbiran dengan melaksanakan pelupusan rekod secara efisien dan sistematik, serta dapat menjimatkan perbelanjaan dan ruang dengan mematuhi keperluan perundangan.
Sejumlah 42 tajuk siri dengan 4.17 meter panjang rekod telah dimusnah dengan cara merincih menggunakan mesin rincih di Unit Pengurusan Harta Benda, Pejabat Bendahari UiTM Cawangan Pahang. Ia merupakan kejayaan pertama dalam melaksanakan proses pemusnahan rekod sejak mengambil alih tugas dan tanggungjawab pengurusan fail dan rekod dari Bahagian Pentadbiran, UiTM Cawangan Pahang sejak setahun yang lalu.
Untuk makluman, pada 01 Februari 2016 pihak UiTM Cawangan Pahang telah meletakkan Unit Arkib Universiti, UiTM Cawangan Pahang di bawah seliaan Perpustakaan Al-Bukhari. Ini berikutan dari penstrukturan semula jabatan yang dibuat oleh Pejabat Pendaftar pada tahun 2015, yang telah meletakkan Bahagian Arkib di bawah tanggungjawab pengurusan Pejabat Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR). Unit Arkib Universiti diwujudkan untuk menyelaraskan Sistem Pengurusan Rekod dan Arkib Universiti Teknologi MARA Cawangan Pahang Kampus Jengka dan Kampus Raub. Selain itu, Unit Arkib ini juga berperanan menyelaras Galeri UiTM Cawangan Pahang yang akan mempamerkan sejarah serta kecemerlangan UiTM Cawangan Pahang sejak penubuhannya.
Pada tahun 2017, unit ini akan berkembang lagi bagi melaksanakan kerja-kerja pemuliharaan & pendigitalan bahan selepas pembelian peralatan bagi kerja-kerja berkaitan diperolehi.
Proses Merincih Rekod Awam
Comments
Post a Comment